APRIL 2024

IGPS Masih Dilaksana Bantu Pelajar Beli Tiket Penerbangan


KUCHING: Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (IGPS) masih dilaksanakan bagi meringankan beban pelajar Sarawak di Semenanjung membeli tiket penerbangan untuk pulang ke negeri ini.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ini terutamanya musim perayaan utama termasuk Hari Raya.

"Itu (IGPS) masih lagi dilaksanakan setiap tahun untuk pelajar kita,  saya belum ada datanya (Aidilfitri ini),  tetapi ada pelajar yang memohonnya waktu Aidilfitri, ada memohon balik bercuti bagi perayaan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di di Pusat Acara Hikmah Exchange, hari ini.

Yang di- Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Sri Ruziah Mohd Tahir serta dif-dif kenamaan lain.

Fazzrudin berkata, IGPS dilaksanakan Sarawak Volunteers dan bersama Yayasan Sarawak dan pelajar Sarawak boleh memohon sebanyak dua kali setahun.

Setiap permohonan diluluskan akan menerima bantuan membeli tiket penerbangan sebanyak RM300.

Katanya, ini bagi mengurangkan beban pelajar membeli tiket penerbangan ke Sarawak yang kebiasaannya mahal  ketika musim perayaan.

"Kebiasaanya dalam setahun, sebanyak 10,000 ke 11,000 permohonan IGPS daripada pelajar terbabit," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya gembira dengan pengumuman Premier Sarawak untuk mewujudkan syarikat penerbangan Sarawak sendiri kerana harga tiket penerbangan berulang alik antara Semenanjung dan negeri ini yang mahal.

"Kalau cari tiket (penerbangan) sekarang hendak balik ke Kuala Lumpur sekitar RM800 ke RM1,000 lebih, itu agak tinggi kosnya,"katanya.